
TANGKAK: Dua maut, manakala lima lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua kereta berhampiran kawasan ladang Gunung Ledang, Jalan Sagil-Jementah, dekat sini, malam tadi.
Kemalangan itu dilaporkan berlaku sekitar jam 10 malam, melibatkan Toyota Harrier yang dinaiki tiga orang dan Proton Wira yang dinaiki empat orang.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, sebuah jentera bersama sepuluh anggota bomba dari Balai Bomba Tangkak segera dikerahkan ke lokasi, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 malam.
Pasukan penyelamat diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan Dua, Mohd Shahid Abd Razak.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat mendapati tujuh orang mangsa berusia antara 21 hingga 61 tahun terlibat dalam kemalangan.
“Dua mangsa mengalami cedera parah dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.
Semua mangsa yang cedera, termasuk tiga mangsa dalam Toyota Harrier dan dua lagi dalam Proton Wira, telah dihantar ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
Mayat dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Identiti kesemua mangsa masih dalam proses pengecaman.
Punca sebenar kemalangan sedang disiasat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.