comscore
Tumpuan :
Nasional

2 maut akibat lumba haram

Foto: PDRM

SANDAKAN: Dua maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit kemalangan ketika berlumba haram, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, ketiga-tiga mereka dipercayai cuba melarikan diri apabila menyedari operasi dijalankan di Batu 16, Jalan Kuari 3, Gum-Gum, di sini.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga motosikal yang ditunggang mangsa bertembung sesama sendiri dan mengakibatkan mereka mengalami kecederaan parah.

“Dua mangsa masing-masing berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah.

“Kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Fuad berkata, pihaknya telah menjalankan Operasi Samseng Jalanan bermula jam 3 petang semalam hingga jam 2 pagi tadi.

Katanya, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan itu menyita sebanyak 60 buah motosikal dan 16 kereta atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 105 kenderaan terdiri 30 kereta dan 75 motosikal diperiksa serta membabitkan pemeriksaan seramai 127 individu iaitu 115 orang lelaki dan 12 wanita.

“Hasil operasi yang dijalankan, sebanyak 31 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, seramai 35 pemandu dan penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi itu telah dibuat saringan ujian air kencing.

“Daripada jumlah itu, seramai lima disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif dadah jenis ketamin dan ganja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini