Oleh: Kadir Edison
BINTULU: Dua maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dihempap kepingan kaca di dalam sebuah kontena di sebuah kilang di sini.
Dalam kejadian sekitar jam 10:25 pagi tadi, mangsa, Asroy dan Aris Munandar, masing-masing warga Indonesia, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jam 10:29 pagi, lalu mengarahkan enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati terdapat tiga mangsa terperangkap. Seorang mangsa dalam keadaan sedar, manakala dua lagi tidak sedarkan diri.
“Mereka dihempap kepingan kaca di dalam sebuah kontena di kilang berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba kemudiannya bertindak melakukan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan kesemua mangsa menggunakan cangkul, penyeduk, kapak keselamatan, tukul dan bantuan jengkaut.
“Setelah kesemua mangsa berjaya dikeluarkan, seorang mangsa yang masih sedar diserahkan kepada pihak perubatan untuk dibawa ke Hospital Bintulu bagi rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, dua lagi mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.