comscore
Tumpuan :
Kemalangan

2 maut, seorang parah MPV bertembung jip

TANGKAK: Dua lelaki maut selepas jip yang dinaiki mereka bertembung sebuah kenderaan pelbagai guna MPV yang dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

Pemandu MPV terbabit turut parah dalam kejadian di kilometer 36 Jalan Muar-Segamat kira-kira jam lapan pagi tadi.

Ketika kejadian, MPV dipandu lelaki berusia 24 tahun itu dari Segamat ke Tol Plaza Tangkak, sebelum dia hilang kawalan dan merempuh jip dinaiki dua mangsa dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib mengesahkan mangsa yang maut pekebun, Ng Kok Fern, 64 tahun, manakala seorang lagi lelaki identitinya belum dikenal pasti.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah bahagian dada, badan dan kaki.

Sementara itu, pemandu MPV Wong Shi Yong, 24 tahun cedera di kepala dan badan dan dirawat di Hospital Tangkak.

Pihak Bomba dan Penyelamat Tangkak turut mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit, dan kedua-dua mayat dihantar ke unit forensik hospital sama.

Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) akta pengangkutan jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini