
MELAKA: Operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang di perairan Pulau Undan, di sini diperluas kepada 1,372 kilometer persegi.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pencarian yang masuk hari ketiga itu membabitkan penggunaan enam aset laut serta satu aset udara dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).
Operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang di perairan Pulau Undan, diperluas kepada 1,372 kilometer persegi. pic.twitter.com/lsbGkaLWfN
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 18, 2025
Beliau berkata, seramai 54 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi, termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya sudah memohon bantuan daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia bagi membantu mengesan kedua-dua mangsa.
“Ini kerana berdasarkan analisis Sistem Perancangan Optimum Mencari dan Menyelamat (SAROPS), terdapat kemungkinan mangsa sudah dihanyutkan ke perairan negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nelayan berkenaan, Muarep Sakem, 63 dan Rosenizam Maharam, 50 dilaporkan hilang ketika memukat ikan pada Rabu lalu.
Kehilangan mereka hanya disedari semalam, menyebabkan Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta-merta.
Satu pangkalan hadapan Mencari dan Menyelamat (Carilamat) dibuka ditubuhkan di Jeti Nelayan Muara Sungai Duyong di Padang Temu, di sini.
Operasi turut dibantu oleh komuniti nelayan tempatan yang memberikan sokongan penting kepada pasukan pencarian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.