SHAH ALAM: Dua lelaki maut tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melakukan kerja pengorekan longkang di tapak pembinaan di Seksyen U15, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 10.29 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bergegas dan mendapati dua mangsa berkenaan warga Bangladesh berusia 30 dan 25 tahun.
“Mangsa tertimbus dalam runtuhan tanah dan konkrit ‘culvert U box’ semasa melakukan kerja pembinaan longkang. Mangsa pertama dikeluarkan jam 11.12 pagi, mangsa kedua pada jam 11.35 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, ketika ini mayat kedua-dua mangsa masih di lokasi kejadian dan akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.