comscore
Tumpuan :
Nasional

2 pemandu bas ekspres khayal dadah ditahan dalam Ops Hari Raya Aidiladha

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 47,003 notis kesalahan sepanjang lima hari Ops Hari Raya Aidiladha yang dijalankan di seluruh negara sejak 10 Jun lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 209,037 kenderaan diperiksa dengan 1,767 sitaan membabitkan 1,462 kereta, motosikal (192) dan lain-lain (113).

“Notis saman paling tinggi yang dikeluarkan membabitkan tiada lesen memandu kompeten (CDL) iaitu sebanyak 12,188, diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (9,711) dan teknikal (8,109).

“Sebanyak 1,428 saman dikeluarkan untuk beberapa kesalahan utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya antaranya melanggar lampu isyarat merah, memotong garisan kembar, menggunakan laluan kecemasan dan memotong barisan,” katanya kepada media, di sini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan. FOTO: NSTP

Terdahulu, beliau diiringi Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, hadir dalam operasi khas motosikal bersepadu di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Wilayah Timur, di sini, malam tadi.

Muhammad Kifli berkata, pihaknya turut mengenalpasti dua pemandu bas ekspres yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah pada 13 dan 14 Jun lalu.

“Dua lelaki berusia 42 dan 61 tahun itu ditahan masing-masing di Perlis dan Negeri Sembilan selepas positif dadah jenis Methampethamine serta ganja.

“Kita akan memanggil syarikat pengendali bas berkenaan dan laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan mengikut Akta 715.

“JPJ juga akan menggantung lesen pemandu berkenaan di bawah Seksyen 36 Akta 333 selepas pengesahan lanjutan diperoleh daripada pihak AADK,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengalu-alukan orang ramai supaya menyalurkan aduan kepada pihaknya menerusi aplikasi e-aduan@jpj atau [email protected] untuk sebarang kesalahan trafik yang dilakukan.

Katanya lagi, sepanjang tahun lalu, sebanyak 60,799 aduan diterima dengan 90 peratus daripadanya berjaya diselesaikan manakala bakinya sedang dalam tindakan.

“Baki yang belum diselesaikan itu disebabkan beberapa faktor antaranya kekurangan maklumat, tidak berlaku kesahihan, gambar atau video yang kurang jelas serta pengadu enggan memberi kerjasama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini