KUALA LUMPUR: Dua pengawal keselamatan yang ditahan berkait kes kehilangan wang tunai RM1 juta selepas proses kutipan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point, 6 November lalu dibebaskan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua individu berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Menurutnya, kertas siasatan sedang dikemas kini sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.
“Selepas itu, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lalu, dua pengawal keselamatan yang juga lelaki dan wanita masing-masing berusia 38 dan 52 tahun ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira 10 malam.
Sebelum itu, polis menerima laporan mengenai kehilangan sebuah beg yang berisi wang tunai RM1 juta daripada sebuah pusat beli belah di Ampang.
Laporan berhubung kejadian itu pada 3.55 petang dibuat selepas proses kutipan dilakukan sebuah syarikat keselamatan daripada sebuah bank.
Bagaimanapun, beg berisi wang tunai berkenaan ditemukan semula pada hari sama oleh orang awam ketika melalui lokasi berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.