AMPANG JAYA: Sebuah kenderaan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dinaiki lima orang terdiri pegawai dan anggota terbabit dalam kemalangan di Kilometer 14 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kemalangan berlaku pada 9 pagi membabitkan Toyota Hilux milik PDRM yang dipandu dari arah Maktab PDRM Cheras menuju ke Sabak Bernam bagi memberi bantuan siasatan.
“Kenderaan itu hilang kawalan semasa sedang melalui jalan berselekoh dalam keadaan cuaca hujan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan seterusnya melanggar penghadang kiri jalan.
“Akibat pelanggaran, kenderaan itu terbalik dan telah menghalang laluan di lorong kiri jalan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Azam berkata, seramai lima mangsa lelaki terdiri pegawai dan anggota Polis berusia dalam lingkungan 30 hingga 50an.
“Hasil pemeriksaan di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang hanya dua daripada lima orang mangsa mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Zon Kuning sebelum dibenarkan pulang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.