Tumpuan :
Nasional

2 PPS di Dungun dan Setiu ditutup, 2,616 mangsa masih di 8 PPS

KUALA TERENGGANU: Banjir yang melanda daerah Dungun dan Setiu sejak semalam pulih selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan ditutup petang tadi.

Ia menyaksikan jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,616 orang daripada 651 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS setakat jam 4 petang.

Sebelum ini, seramai 2,787 mangsa daripada 650 keluarga yang terjejas berada di 13 PPS di lima daerah.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, tiga daerah yang masih terjejas adalah Kemaman, Hulu Terengganu dan Marang.

Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 2,560 mangsa daripada 639 keluarga ditempatkan di lima PPS.

Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2,579 orang daripada 594 keluarga yang ditempatkan di empat PPS pada jam 12 tengah hari.

Jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu juga menurun kepada 43 mangsa daripada lapan keluarga di dua PPS berbanding 121 mangsa daripada 32 keluarga di enam PPS sebelum ini.

Di Marang, jumlah mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila 13 mangsa daripada empat keluarga masih berada di satu PPS.

Sementara itu, dua sungai di Terengganu merekodkan bacaan melepasi paras amaran manakala tiga lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai yang melepasi paras amaran adalah Sungai Nerus di Kampung Langkap (F1), Setiu berada pada paras 20.29 meter berbanding paras normal 17 m dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman dengan bacaan 2.04 m (1 m).

Tiga lagi sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (11.58 m), Sungai Tersat di Kampung Sekayu (FI), Hulu Terengganu (19.02 m) dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.21 m).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini