comscore
Tumpuan :
Nasional

2 PPS di Kulim, Bandar Baharu tempatkan 132 mangsa banjir kilat

APM Kulim membantu memindahkan mangsa berikutan banjir kilat yang melanda daerah itu. – Foto APM

ALOR SETAR: 132 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kulim dan Bandar Baharu, selepas dua daerah itu dilanda banjir kilat sejak petang semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, dua PPS itu dibuka sejak tengah malam dan awal pagi tadi.

Beliau berkata, PPS di Kulim iaitu di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al -Ihsaniah, Jangkang dibuka pada jam 12.12 tengah malam yang menempatkan seramai 74 mangsa daripada 17 keluarga dari Kampung Padang Limau, Mukim Karangan.

PPS itu katanya dibuka selepas kediaman mangsa banjir kilat dinaiki air susulan hujan lebat sejak petang semalam.

“Jumlah itu membabitkan 15 lelaki dewasa, wanita dewasa (23), kanak-kanak lelaki (12) dan kanak-kanak perempuan (13), wanita warga emas (lima), bayi lelaki (empat) dan warga emas (dua).

“Banjir kilat itu berlaku susulan hujan lebat berterusan menyebabkan air sungai melimpah dari kawasan bukit ke kawasan rendah sehingga memasuki kediaman penduduk dan paras air mencecah hampir satu meter.

“Setakat ini anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim turut melakukan pemantauan di lokasi yang berpotensi dinaiki air dan paras air sungai utama dan mengukur paras air di setiap lokasi.

“Penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan berisiko dinaiki air dinasihatkan supaya melakukan persediaan untuk berpindah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu di daerah Bandar Baharu, seramai 58 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan di PPS Masjid Sungai Batu pada jam 3 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, membabitkan mangsa di Kampung Cherok Meranti, Mukim Sungai Batu dan Kampung Sungai Tengas dinaiki air.

Beliau berkata, hujan lebat yang bermula sekitar jam 6 petang melebihi tiga jam menyebabkan kawasan sungai utama di Kampung Cherok Meranti dan Sungai Batu melimpah menyebabkan lima rumah ditenggelami air.

“Jumlah mangsa banjir di Kampung Cherok Meranti di Mukim Sungai Batu seramai 21 mangsa daripada lima keluarga manakala Kampung Sungai Batu, Mukim Sungai Batu pula membabitkan 16 mangsa daripada empat keluarga.

“Mangsa banjir kilat di Kampung Sungai Tengas Pula seramai 21 mangsa daripada lima keluarga,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini