Tumpuan :
Nasional

2 sekolah digenangi air 0.3 meter tidak ganggu kelancaran SPM di Kelantan

Mohd Zamri memberi semangat kepada pelajar, Mohd Adam Mukhriz Rosdi, 17 yang hadir menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Rantau Panjang, hari ini. – FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan membabitkan 27,017 calon yang bermula hari ini berjalan lancar termasuk di dua pusat peperiksaan yang masih dilanda banjir.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, sehingga pagi ini dua sekolah yang terbabit dengan SPM masih digenangi air pada paras 0.3 meter.

“Di Kelantan, kita mempunyai 27,017 calon membabitkan 284 pusat peperiksaan termasuk 12 pusat di hospital dan dua pusat tahanan. Bagaimanapun setakat ini kita tiada calon ditempatkan pusat peperiksaan hospital dan tahanan.

“Dua sekolah yang masih digenangi air adalah Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Falah dan SMUA Diniah.

“Kedua-dua sekolah berkenaan berada di Rantau Panjang. Saya berterima kasih kepada semua guru yang bertungkus lumus menyiapkan sekolah terutama yang terjejas banjir baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama 189 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini