Tumpuan :
Nasional

2 tekong ditahan cuba seludup 20 warga asing secara haram

JITRA: Tindakan mencurigakan dua kenderaan yang melalui jalan belakang Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok pada waktu awal pagi semalam membongkar kegiatan penyeludupan 20 warga asing secara haram.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian itu disedari sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang ketika itu melakukan rondaan di kawasan itu.

Beliau berkata, mereka kemudian terserempak dengan dua kenderaan iaitu kereta jenis Toyota Innova warna emas dan putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan jam 5.10 pagi.

“Berikutan itu, pegawai dan anggota polis terbabit mengekori dua buah kenderaan itu sebelum bertindak menahan mereka di tepi jalan Hosba, Changlun, di sini.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan Toyota warna putih kemudian menemui seorang lelaki warga Kemboja yang memandu kenderaan terbabit.

“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menemui empat lelaki dan lima wanita disyaki warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam Toyota Innova warna emas turut menemui pemandu seorang lelaki warga Kemboja bersama lapan lelaki dan tiga wanita warga asing.

Beliau berkata, kesemua warga asing yang diperiksa didapati tiada sebarang dokumen perjalanan sah dan dipercayai dari Myanmar.

“Manakala kedua-dua pemandu kenderaan yang juga tekong darat itu memiliki passport Kemboja.

“Hasil soal siasat mendapati, kedua- dua tekong warga asing itu dipercayai menerima upah dari seorang lelaki Myanmar lain dengan bayaran sebanyak RM1,000 untuk membawa warga asing terbabit dari sempadan Bukit Kayu Hitam ke Kuala Nerang.

“Kesemua warga asing yang ditahan itu berusia sekitar lingkungan 20-40 tahun,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Manusia 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah boleh di penjara tidak lebih lima tahun, boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali atau tidak lebih dari enam sebatan.

“Pihak Polis sentiasa peka dan aktif khususnya dalam usaha membanteras jenayah membabitkan aktiviti pemerdagangan manusia terutama di sempadan Malaysia Thailand.

“Masyarakat diminta turut bersama memberi maklumat supaya aktiviti ini dapat dibanteras dengan menyalurkan melalui talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis terdekat serta boleh menggunakan applikasi VSP yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini