KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas menanggung kerugian kira-kira RM2.2 juta selepas diperdaya ‘kekasih’ alam maya yang dikenali sejak 2017.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima panggilan daripada akauntan berusia 67 tahun itu di Sabah yang mendakwa berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) di Facebook.
Menurutnya, lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai ahli perniagaan dalam bidang pembekalan alatan perubatan di Singapura.
“Selepas sebulan berkenalan, hubungan mereka menjadi semakin rapat dan mula menjalinkan hubungan cinta secara maya.
“Lelaki itu kemudian mendakwa ingin berpindah ke Malaysia, namun memerlukan wang untuk kos pengangkutan dan mangsa bersetuju untuk membantu dengan membuat pembayaran berjumlah RM5,000 ke akaun yang diberikan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ di sini, hari ini.
Ramli berkata, suspek kemudiannya terus meminta wang dengan pelbagai alasan seperti masalah peribadi dan urusan perniagaan.
Katanya, mangsa membuat sebanyak 306 transaksi wang ke 50 akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.2 juta.
“Siasatan mendapati sebahagian wang itu adalah hasil pinjaman daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada November lalu selepas berkongsi cerita tersebut dengan seorang rakan dan laporan polis dibuat semalam,” katanya.
Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, menurut Ramli, modus operandi utama sindiket adalah menggunakan profil palsu, pengakuan cinta awal, permintaan wang atas pelbagai alasan dan keengganan bertemu secara bersemuka.
Dalam kes berasingan, menurutnya, seorang wanita juga telah mengalami kerugian sebanyak hampir RM2.5 juta selepas terperangkap dalam penipuan sindiket ‘love scam’.
Katanya, mangsa yang berusia 57 tahun adalah seorang pekerja swasta yang dilaporkan mula berkenalan dengan seorang lelaki warga England sekitar April lalu melalui laman sosial Facebook.
“Selepas berinteraksi selama dua minggu, lelaki tersebut mendakwa ingin datang ke Malaysia untuk bertemu mangsa.
“Bagaimanapun, drama bermula apabila mangsa dihubungi individu yang mengaku sebagai pihak kastam dan mendakwa bahawa mereka telah menahan lelaki itu kerana membawa masuk wang tunai sebanyak RM4.66 juta atau AS$D 5 juta.
“Bagi membebaskan lelaki itu, mangsa diminta membuat pembayaran untuk mendapatkan sijil pengesahan daripada pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Kesihatan Malaysia dan kedutaan,” katanya.
Menurut beliau, mangsa yang percaya telah membuat 13 kali pindahan wang ke 13 akaun bank berbeza dan jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan mencecah RM2.47 juta.
“Difahamkan mangsa masih diminta untuk membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis pada 28 November lalu.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti dalang sebenar sindiket ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.