BALIK PULAU: Dua warga China mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencuri wang milik dua penumpang pesawat berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), bulan lalu.
Tertuduh, He Dapeng, 51, dan Xin Min, 61, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, He Dapeng didakwa mencuri wang tunai RM2,000 milik seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun antara jam 8.20 hingga 8.40 pagi di LTAPP pada 21 November lalu.
Manakala Xin Min pula didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM200 dan 24,000 mata wang Taiwan milik lelaki tempatan berusia 31 tahun di LTAPP antara jam 10.20 hingga 10.30 pagi pada 24 November lalu.
Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani manakala tertuduh diwakili peguam, Md Yusuf Md Idris.
Mahkamah kemudian memutuskan He Dapeng didenda sebanyak RM2,000, manakala Xin Min RM3,700 dan masing-masing dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.