comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 200 bot kibar bendera Palestin di Sungai Kelantan tanda solidariti 

Sebahagian bot nelayan dan bot penambang menyusuri Sungai Kelantan sambil mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti. – Foto: NSTP

TUMPAT: Kira-kira 200 bot nelayan dan bot penambang hari ini menzahirkan solidariti terhadap nasib menimpa Palestin yang kini diserang rejim Zionis, dengan menyusuri Sungai Kelantan sambil mengibarkan bendera negara terbabit.

Perarakan simbolik itu disertai lebih 1,000 peserta terdiri nelayan dan penduduk di sekitar gugusan kepulauan Tumpat, serta ahli Kelab Anak Muda Tumpat yang memulakan perarakan di Jeti Laman Warisan, di sini.

Setiausaha Kelab Anak Muda Tumpat, Anas Rizuan Shamsuddin, berkata penganjuran perarakan solidariti Palestin menggunakan laluan sungai adalah julung kali diadakan dengan perancangannya dibuat sejak dua minggu lalu.

“Cadangan untuk berarak menaiki bot dikemukakan kumpulan nelayan kerana kehidupan sebahagian masyarakat daerah ini serta Kuala Besar, Kota Bharu sangat sinonim dengan sungai.

“Semakin hampir program, semakin ramai yang menyertai dan untuk hari ini majoriti mereka berkumpul di jeti Kuala Besar sebelum pelepasan dibuat di jeti Laman Warisan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob.

“Perarakan juga disertai agensi penyelamat iaitu bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis serta bantuan Majlis Daerah Tumpat (MDT) untuk keselamatan peserta,” katanya merangkap pengarah projek itu.

Perarakan meriah dimulakan jam 5 petang tadi dengan bacaan Qunut Nazilah dan laungan Allahuakbar diiringi nyanyian lagu Palestin untuk menaikkan semangat peserta serta ribuan pengunjung.

Ratusan bot termasuk jet ski bergerak dalam kumpulan secara perlahan menuju jeti Lembah Sireh sejauh kira-kira dua kilometer dengan rata-rata nelayan yang menyertai perarakan itu sanggup tidak keluar ke laut semata-mata untuk menyertai solidariti itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini