Tumpuan :
Nasional

200 pelatih kumpulan pertama PLKN 3.0 bermula 12 Januari depan

Foto hiasan

SEREMBAN: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan bermula 12 Januari tahun depan membabitkan 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata ia adalah latihan atau fasa percubaan sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan.

Katanya, latihan itu akan membabitkan tempoh selama dua minggu dan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur.

“Ia adalah sebagai percubaan kerana sesi sebenar akan bermula pada Jun 2025, melalui percubaan ini saya fikir ia boleh menilai keberkesanan kita punya silibus dan juga modul latihan seterusnya boleh dilakukan penambahbaikan.

“Kita ada banyak pengalaman melalui PLKN yang dulu, saya fikir menerusi kaedah ini (percubaan) ia akan dapat mempercepatkan proses kita untuk melengkapkan dan memastikan pada Jun nanti benar-benar kita bersedia sepenuhnya.

“PLKN kali ini akan dilaksanakan kem-kem Wataniah di seluruh negara cuma kali ini (percubaan) hanya dimulakan dengan satu kem yang membabitkan seramai 200 pelatih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) Peringkat Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Adly berkata, Kementerian Pertahanan tidak mempunyai masalah untuk mencapai bilangan 200 orang pelatih selain mereka yang mendaftar secara sukarela.

“Buat masa ini, kita memang tumpukan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM cuma daripada segi akta sahaja yang menyebut ia boleh disertai pelatih sehingga usia 35 tahun,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan sebanyak 13 kem tentera dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan PLKN 3.0 antaranya di Kuala Lumpur dan Pahang yang akan digunakan bagi menempatkan peserta terpilih menjelang 2026.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini