comscore
Tumpuan :
Nasional

200 tan sisa buangan dirampas dari kilang haram

Veerapan menunjukkan antara bahan sisa elektronik di premis tidak bernombor di Jalan Kuala Sawah, Kampung Puchong, Rantau. Foto: Ihsan JAS Negeri Sembilan

SEREMBAN: Pihak berkuasa negeri merampas 200 tan barangan pembuangan elektronik dari sebuah kilang yang beroperasi secara haram di premis tidak bernombor di Jalan Kuala Sawah, Kampung Puchong, dekat sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata kegiatan itu dipercayai didalangi warga China yang telah beroperasi pada 2020.

“Berdasarkan siasatan awal, pemilik kilang ini disyaki warga tempatan sebelum menyewanya kepada warga asing dengan mengenakan bayaran RM38,000 sebulan.

“Dianggarkan berat sisa buangan adalah sebanyak 200 tan di mana lokasinya hampir 100 meter dari Sungai Linggi. Bahan buangan berkenaan dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Amerika Syarikat dan China melalui Pelabuhan Klang yang diisytihar secara salah.

“Kegiatan ini dipercayai didalangi oleh warga China manakala pekerjanya adalah terdiri daripada warga Myanmar,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, berkata hasil siasatan mendapati terdapat sembilan kesalahan telah dilakukan di bawah bidang kuasa tujuh agensi penguat kuasa.

Veerapan berkata, antaranya membabitkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) iaitu operasi peleraian sisa elektronik tanpa lesen.

Beliau berkata, premis berkenaan juga didapati tidak mempunyai sijil perakuan penginapan pekerja selain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah membabitkan pekerja asing.

“Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap premis berkenaan kerana kegiatan terbabit boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat,” katanya serbuan itu adalah hasil maklumat dan kerjasama orang ramai.

Katanya, agensi yang terbabit dalam serbuan itu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Perhilitan dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini