comscore
Tumpuan :
Nasional

2,000 anggota JPJ ditugaskan buat pemantauan, rondaan

Aedy Fadly Ramli memerhati kakitangan PUSPAKOM memeriksa tayar sebuah bas ekspres pada Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Tahun Baru Cina di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menugaskan 2,000 anggota penguat kuasa untuk melakukan pemantauan dan rondaan di lokasi tumpuan sepanjang Op Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina bermula 18 hingga 28 Januari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata bagi mengelak berlaku kesesakan trafik, JPJ tidak akan mendirikan sebarang sekatan jalan raya pada operasi bersepadu kali ini.

“Sebaliknya, kita akan tugaskan 2,000 anggota penguat kuasa untuk melakukan rondaan pemantauan di lokasi-lokasi hotspot kemalangan serta lokasi kerap berlaku pelanggaran peraturan jalan raya di seluruh negara.

“Dalam pada itu, sebanyak 77 depoh dan 28 terminal bas utama di seluruh negara akan diperiksa dengan mensasarkan pemeriksaan teknikal bas ekspres dan pemandu termasuk saringan urin bagi memastikan pemandu bebas dadah dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Kita juga akan melaksanakan rondaan berkala sepanjang operasi itu selain melakukan kaedah penyamaran bagi memastikan tiada pemandu bas melakukan kesalahan ketika memandu,” katanya.

Tambah beliau, pemandu bas yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan serta merta oleh anggota JPJ yang menyamar itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Operasi Bersepadu dan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2023 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail.

Sepanjang operasi bersepadu, katanya JPJ memfokuskan tindakan bagi tujuh kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

Aedy Fadly berkata, pemandu akan dikenakan tindakan saman atau kompaun membabitkan tujuh kesalahan utama itu akan dikenakan mata demerit di bawah Sistem Penalti Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang membolehkan lesen pemandu digantung atau dibatalkan.

Dalam pada itu, katanya pengguna jalan raya juga diharapkan dapat menjadi ‘mata dan telinga’ JPJ dengan melaporkan kesalahan lalu lintas sepanjang tempoh Op Bersepadu.

Segala aduan boleh disalurkan menerusi aplikasi MyJPJ melalui menu e-Aduan@jpj atau melalui aduan email JPJ [email protected].

Loading...
Terkini