Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara (JAN) akan mengaudit 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula tahun depan bagi mewujudkan tadbir urus yang tinggi di Malaysia.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata langkah ini berikutan pindaan Akta Audit 1957 yang mengukuhkan kuasa Ketua Audit Negara, sekali gus membolehkan pengawasan perbelanjaan awam yang lebih menyeluruh di Malaysia.
“Penemuan audit kami akan dilaksana secara digital sepenuhnya tahun depan dari segi cara kami menjalankan audit dan analisis data kami.
“Kami mengambil pendekatan teknologi dan sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk memahami teknologi baharu dan bagaimana ia dilaksanakan oleh sektor swasta,” katanya di Persidangan Kebangsaan Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM) 2024, hari ini.
Tambah beliau, juruaudit akan memastikan bahawa pengumpulan data akan dilakukan dengan betul, merangkumi teknologi baharu, pada masa sama menjaga hal sulit.
JAN akan bekerjasama dengan IIAM dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta entiti lain yang terlibat dalam sektor audit.
Untuk itu, terdapat banyak penambahbaikan yang sedang dibuat termasuk meningkatkan papan pemuka dalam talian Ketua Audit Negara untuk mengemaskini maklumat susulan baharu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa