comscore
Tumpuan :
Hiburan

20,000 pengunjung meriahkan penutup Karnival Jom Heboh 2023

SHAH ALAM: Lebih 20,000 pengunjung hadir pada konsert penutup Karnival Jom Heboh (KJH) 2023: Selangor Generasi Muda yang berlangsung di Dataran Karnival Stadium Shah Alam malam ini.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari itu melabuhkan tirai dengan persembahan nyanyian oleh Haqiem Rusli, OVA, Afieq Shazwan, Hariz Fayahet, Black, Hazama dan Shiha Zikir.

Lebih istimewa KJH kali ini bersempena meraikan ulang tahun ke-39 TV3 sejak penubuhannya pada 1984.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyampaikan ucapan ringkas menyifatkan, kehadiran ramai penduduk memeriahkan KJH.

“Saya gembira dapat bersama warga Selangor malam ini dan ternyata orang negeri ini ‘sporting’ serta sangat memberikan sokongan. Terima kasih orang Selangor.

“Ucapan ini turut dizahirkan kepada Media Prima Berhad (MPB) dan TV3 kerana memilih Shah Alam sebagai lokasi penganjuran,” katanya.

Turut hadir, Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman; Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Efendi Omar.

Penganjuran KJH kali ini dilihat berupaya menjadi medan mendekati golongan muda dan masyarakat majmuk menerusi penganjuran aktiviti berkonsepkan kekeluargaan serta sukan.

Dalam pada itu, Amirudin turut menzahirkan terima kasih kepada golongan belia kerana tidak putus-putus memberi sokongan terhadap aktiviti yang dianjurkan di Selangor.

“Saya harapkan golongan belia dapat menyertai himpunan minggu depan dan majlis itu mereka boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan kerajaan negeri.

“Saya gembira dapat bersama kerana dapat melihat golongan belia ini terus memberikan sokongan dan harap semangat ini dapat dikekalkan,” katanya.

Untuk rekod, KJH Selangor Generasi Muda menerima sambutan hangat dengan kira-kira 360,000 pengunjung direkodkan sepanjang tiga hari karnival berlangsung.

Loading...
Terkini