comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 200,000 rakyat miskin tegar terima SARa RM600 Isnin ini

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seramai 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) berjumlah RM600 mulai Isnin ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan itu bagi membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan makanan asas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian bantuan itu menerusi aspek Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan
dilaksanakan sebagai langkah awal merealisasikan Naratif Ekonomi MADANI sebelum pembentangan Belanjawan MADANI 2024.

“Kerajaan sudah menyediakan STR untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan sebagai tambahan, lebih 200,000 penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin tegas berdasarkan data e-Kasih, akan turut menerima SARa mulai 17 Julai ini.

“Bagaimanapun, perincian berhubung program SARa ini, akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju pelaksanaan Skim Perubatan MADANI diperluas ke tujuh negeri lagi di bandar dengan kependudukan tinggi, susulan sambutan menggalakkan dan keberkesanan skim tersebut.

Antaranya, di Klang, Selangor; Johor Bahru, Johor dan Kuching, Sarawak.

Skim Perubatan MADANI diperkenalkan khusus untuk golongan B40 mendapat rawatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP) dengan peruntukan RM100 juta.

Loading...
Terkini