comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 19,000 Pemohon Gagal Masuk Universiti

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sejumlah 19,130 lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf yang layak dan melepasi syarat am, namun gagal mendapat tawaran kali pertama memasuki universiti awam (UA) bagi sesi akademik 2022/2023.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Husaini Omar berkata antara puncanya permohonan diterima menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) adalah tinggi dalam 10 program pengajian kompetitif selain ada yang gagal dalam saringan temu duga atau ujian.

“Kapasiti di 20 (UA) seluruh negara terhad dan persaingan terlalu tinggi untuk mendapat tempat. Ini perkara baik kerana bakat (yang memasuki UA) adalah dalam kalangan terbaik.

“Mereka yang akan mendapat Ijazah Sarjana Muda nanti adalah daripada yang terbaik untuk bakal bakat masa depan negara,” katanya pada taklimat media mengenai UPUOnline di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 115,477 jumlah permohonan diterima tahun ini namun hanya 90,745 calon layak dan melepasi syarat am yang ditetapkan UA berbanding 71,615 kapasiti tempat yang disediakan.

“Daripada jumlah keseluruhan tempat itu, sebanyak 48,665 lepasan STPM, Matrikulasi dan Asasi; 2,974 lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 19,976 lepasan Diploma dan setaraf,” katanya.

Turut hadir Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin.

Datuk Prof Dr Husaini turut memberi contoh tiga program kompetitif yang mendapat permohonan tinggi sekurang-kurangnya tiga kali ganda jumlah permohonan diterima berbanding penawaran tempat.

“Bagi program perubatan, seramai 1,841 calon layak, namun 692 hanya ditawarkan tempat; program perakaunan (4,258 calon layak, 1,502 tempat) dan program undang-undang (1,660 calon layak, 541 tempat),” katanya.

Punca lain gagal permohonan yang dikenal pasti adalah tidak memenuhi syarat khas program pengajian dan kedudukan merit rendah.

Mengulas lanjut, Datuk Prof Dr Husain berkata, pemohon yang gagal boleh membuat rayuan sehingga 4 Oktober ini.

“Rayuan dibuka selama 10 hari sejak 25 September lalu selepas keputusan permohonan kemasukan UA diumumkan.

“Rayuan boleh dibuat melalui sistem UPUOnline bagi rayuan UA dan Politeknik, manakala rayuan ke Kolej Komuniti (KK) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) adalah melalui institusi tersebut dan bukan melalui sistem UPUOnline.

“Pemohon dibenarkan mengemukakan empat pilihan sahaja berbanding 12 pilihan yang diberikan kali pertama. Namun, jika masih gagal di peringkat rayuan, jangan anggap tiada lagi peluang belajar. Calon boleh membuat permohonan kemasukan terus ke universiti.

“Mereka juga ada pilihan masuk ke institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang turut ditawarkan biasiswa dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut mempertimbang untuk menyenaraikan punca kenapa pemohon gagal dalam sistem UPUOnline tersebut.

Ketika ini sistem itu hanya menyatakan calon sama ada berjaya atau gagal.

“Cadangan (memasukkan sebab gagal permohonan) sangat baik. Calon tahu kenapa dia gagal permohonan. (Cadangan ini) kita akan bincang,” katanya.

Loading...
Terkini