comscore
Tumpuan :
Nasional

22 kenderaan milik penduduk hangus dalam kebakaran

Sebahagian daripada 22 kenderaan yang hangus dalam kebakaran di Taman Bukit Perdana, di Batu Pahat semalam. – Foto: NSTP

BATU PAHAT: Lima kereta dan 17 motosikal milik penduduk hangus dalam kebakaran di Taman Bukit Perdana, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang dengan lima kereta yang musnah membabitkan Naza Ria, Toyota Estima, Proton Waja, Honda Ferio dan Perodua Alza.

Seorang penduduk, Hasanuman Idris, 60, mendakwa kerugian sehingga RM20,000 selepas jenis Honda Ferio miliknya selain tiga motosikal jenis Yamaha 125z, Yamaha 100 dan Modenas Kriss terbakar.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia sedang berniaga di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dekat Parit Raja sebelum dimaklumkan jiran mengenai kebakaran itu melalui panggilan telefon.

“Apabila jiran hantar gambar (garaj saya yang terbakar), saya terduduk seketika…. bayangkan di garaj itu saya bukan sahaja parkir kereta dan motosikal, tetapi juga menyimpan barang niaga namun semuanya musnah sama sekali.

“Ada dua kereta sempat anak saya selamatkan jika tidak, habis semua kenderaan saya terbakar.

“Allah nak uji saya kali ini, namun saya reda dan percaya ada hikmah di sebaliknya,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Pesara tentera, Salim Sahari, 63, pula berkata, beberapa penduduk taman cuba membantu memadam api namun gagal kerana ia merebak ke kenderaan bersebelahan.

“Ketika kejadian, majoriti yang ada di rumah adalah wanita, jadi mereka tidak berani keluar apatah lagi ada letupan seperti mercun terbakar.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api marak begitu cepat, tidak lama selepas itu bomba pun tiba,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Ayub Majid berkata, 19 anggota termasuk dari BBP Penggaram dikejarkan ke lokasi bersama dua jentera dengan dibantu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta ‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM).

“Api dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian, namun punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini