comscore
Tumpuan :
Nasional

22 kes pecah amanah membabitkan peguam disiasat tahun ini – Pengarah JSJK

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam sidang media di ibu negara.- Foto: NSTP

Oleh: Shuhadah Marzuki

KUALA LUMPUR: 22 kes pecah amanah membabitkan peguam disiasat oleh polis pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sehingga 15 Mei, kes yang disiasat itu membabitkan nilai kerugian melebihi RM19.5 juta.

“Penglibatan peguam dalam kes-kes pecah amanah jenayah adalah amat dikesali.

“Saya menggesa pihak Majlis Peguam Malaysia untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas terhadap mana-mana peguam yang gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagaimana sepatutnya,” kata Ramli dalam sidang media di ibu negara.

Beliau dalam masa yang sama mencadangkan agar firma guaman membuka akaun bersama untuk memastikan sentiasa mengetahui keberadaan wang mereka selain mengelakkan berlaku penyelewengan.

Ramli turut mendedahkan dua kes terbaharu membabitkan jenayah pecah amanah oleh firma guaman melibatkan kerugian wang berjumlah RM8 juta yang sedang disiasat polis.

Katanya, dalam kes pertama pada 15 Mei lalu, adalah berdasarkan laporan polis yang diterima di Sungai Buloh oleh seorang pengarah syarikat berusia 60 tahun.

Dia mendakwa ditipu oleh sebuah firma guaman membabitkan wang berjumlah RM3.2 juta.

Sementara laporan kes kedua diterima oleh JSJK IPD Petaling Jaya yang dibuat oleh pengarah syarikat berusia 53 tahun yang mendakwa ditipu oleh sebuah firma guaman dalam urusan pembelian tanah di Plentong, Johor.

Pengadu mendakwa penyelewengan oleh firma guaman itu mengakibatkan dia kerugian sebanyak RM4.8 juta.

Kedua-dua kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini