comscore
Tumpuan :
Nasional

22 rumah penduduk di dua kawasan di Melaka dilanda banjir kilat

MELAKA: Sekurang-kurangnya 22 rumah penduduk terjejas banjir kilat di dua kawasan di negeri ini susulan hujan lebih dua jam bermula 3.45 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA), Kamarulsyah Muslim berkata kawasan terjejas membabitkan Kampung Gapam dalam Dewan Undangan Negeri Bemban dan Kampung Bukit Tambun, Kampung Parit Melana serta Kampung Bukit Balai di Durian Tunggal.

“Setakat jam 6.30 petang tadi, sebanyak 16 rumah penduduk di kawasan rendah di Kampung Gapam dinaiki air yang melimpah dari sungai dan parit.”

“Turut terjejas masing-masing tiga rumah di Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Kamarulsyah berkata berikutan paras air yang terus meningkat, tiga keluarga membabitkan enam mangsa termasuk dua orang kurang upaya (OKU) dari Bukit Tambun dipindahkan sementara di Balairaya Bukit Tambun sehingga air surut.

“Selain itu sebuah keluarga dari Kampung Bukit Balai membabitkan 12 orang mangsa pula ditempatkan sementara di Balairaya Bukit Balai,” katanya.

Beliau berkata ketika ini anggota APM menjalankan pemantauan rapi di kawasan terjejas dan orang ramai diminta peka dan mengikuti arahan pasukan penyelamat bagi mengelak sebarang risiko banjir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini