comscore
Tumpuan :
Nasional

226 PATI warganegara Filipina diusir ke negara asal 

FOTO: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: 226 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina telah diusir ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI siri 7 dari Depot Imigresen Sandakan semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata program itu melibatkan tahanan berumur lingkungan 2 hingga 73 tahun iaitu terdiri daripada  153 lelaki serta 56 perempuan yang dihantar pulang menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia.

FOTO: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah

“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu  bapa dan penjaga masing-masing melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Sitti Saleha, daripada jumlah itu, 17 orang melibatkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan program berkenaan merupakan program pemindahan susulan dalam tahun 2024 bulan Mei.

FOTO: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah

“PATI yang terlibat pada kali ini adalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Sandakan sahaja.

“Seramai 2,013 orang tahanan warganegara Filipina telah dipindahkan dalam tahun 2024 ke negara asal melibatkan pengangkutan laut dan udara,” katanya.

Menurutnya kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

FOTO: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah

Hukuman yang dikenakan juga ujarnya adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan.

“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini