Tumpuan :
Nasional

227 PATI Indonesia dihantar pulang menerusi laluan laut Sabah

Sebahagian PATI warga Indonesia yang dipindahkan balik ke negara asal menggunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, di Indonesia, semalam. – FOTO: NSTP/ Ihsan IMEGRESEN Sabah.

TAWAU: Seramai 227 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan dari Depot Tahanan Imigresen di Sabah untuk dihantar pulang ke negara asal, semalam.

Operasi pemindahan itu adalah sebahagian daripada operasi berterusan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di Depot Imigresen di Kota Kinabalu dan Papar, dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pengusiran siri ke-19 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 melalui Terminal Feri Tawau, di sini masing-masing menggunakan perkhidmatan Feri Purnama Express dan Labuan Express
ke Pelabuhan Tunon Taka, di Nunukan, Indonesia.

Menurutnya, operasi pemindahan itu membabitkan seramai 107 lelaki, 71 wanita dan 49 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah termasuk Ibu bapa masing-masing berumur antara dua bulan hingga 82 tahun.

“Semua PATI yang dihantar pulang itu sebelum ini ditahan atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan sudah selesai menjalani hukuman.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara,” katanya menerusi kenyataan media di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya, kekerapan program pemindahan tahanan warga Indonesia yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen (IMIGRESEN) Sabah adalah bergantung kepada kerjasama strategik daripada pihak KJRI di Kota Kinabalu khasnya dalam mempercepatkan proses verifikasi dan pengeluaran dokumen Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP).

“Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa selain mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini