comscore
Tumpuan :
Nasional

23 pegawai Kastam bersekongkol sindiket penyeludupan, didakwa di mahkamah bermula esok

Pengimport menyogok penguat kuasa untuk mengelak cukai. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bermula esok, 23 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan didakwa di Mahkamah Sesyen di enam negeri, berhubung dakwaan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan penjualan arak serta rokok tanpa cukai.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, semua suspek akan didakwa secara berasingan bulan ini sehingga 6 Jun ini.

Enam negeri terbabit adalah Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan.

Katanya, pendakwaan terhadap suspek adalah hasil operasi Ops Samba 2.0 yang bermula sejak 11 Mac lalu menerusi kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara.

“Ops terbabit berakhir 25 Mac lalu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Kastam yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akhirnya berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

“Dalam operasi ini, SPRM menahan 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 bersama 27 individu dan pemilik syarikat dan hasil siasatan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan mengimport dan penjualan arak serta rokok seludup,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, berikutan penahanan individu terbabit, SPRM merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan SPRM mengesan modus operandi digunakan oleh sindiket yang dilumpuhkan dalam Ops Samba melalui ‘forwarding agent’ yang bertindak sebagai orang tengah bagi membayar rasuah kepada penguat kuasa.

Anggota dan pegawai JKDM yang bertugas dalam pemeriksaan kargo lapangan terbang diberi sogokan sebagai balasan melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Sindiket terbabit dipercayai melakukan perbuatan penyeludupan dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa itu sejak tahun 2017.

Hasil siasatan menunjukkan anggota dan pegawai terbabit menerima rasuah kira-kira RM4.7 juta daripada sindiket melalui ‘akaun keldai’.

Sindiket itu juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, pengurup wang, kegiatan judi atas talian dan melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

Sebanyak 19 ‘syarikat hantu’ ditubuhkan dengan menjalankan pelbagai perniagaan pengubahan wang haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini