comscore
Tumpuan :
Nasional

23,000 bawa kenderaan tanpa lesen memandu, termasuk pelajar 

 


JASIN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus memperkasakan program advokasi mengenai kepentingan mempunyai lesen dalam masyarakat, terutama kalangan pelajar sekolah bagi memastikan mereka tidak terus melanggar peraturan jalan raya.

Ketua Pengarah, Datuk Rospiagus Taha, berkata ini termasuklah menyasarkan tempoh enam bulan untuk memastikan 23,000 individu dalam kalangan usia 16 hingga 35 tahun, termasuklah pelajar yang membawa kenderaan ke sekolah tanpa lesen mematuhi peraturan jalan raya.

“Kita tidak akan mengambil tindakan undang-undang seperti saman kerana kita dalam fasa advokasi dan dalam masa sama, kita juga faham mengenai kekangan dihadapi oleh pelajar yang memerlukan kenderaan untuk datang ke sekolah.

“Mengenai tindakan terhadap ibu bapa yang membenarkan anak mereka membawa kenderaan tanpa lesen, itu juga kita akan fokus kepada advokasi dan memiliki lesen yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Perkhemahan Kadet JPJ Peringkat Zon Selatan di Pusat Kokurikulum Negeri Melaka, Lanchang, Merlimau, di sini malam tadi.

Rospiagus percaya pendekatan advokasi yang dilakukan secara sistematik dan bersasar setakat ini dalam meningkatkan kesedaran memiliki lesen secara sah akan merendahkan statistik sedia ada, namun tetap bergantung kepada kerjasama semua pihak.

“Saya optimis program seperti Kadet JPJ yang melibatkan pelajar sekolah akan memberi kesan mengenai kepentingan memiliki lesen dan mematuhi peraturan jalan raya, sekali gus turut menyedarkan ibu bapa,” katanya.

Mengenai perkhemahan Kadet JPJ yang dianjurkan, Rospiagus berkata, program berkenaan akan memberi impak positif terutama berkaitan disiplin dan sahsiah diri kepada lebih 300 pelajar dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur yang menyertainya selama empat hari sejak Isnin lalu.

“Kami melihat pasukan Kadet JPJ ini sebagai duta keselamatan jalan raya dan platform terbaik untuk melatih ahli-ahlinya dalam membantu menyampaikan mesej advokasi keselamatan jalan raya kepada pelajar lain di sekolah dan ibu bapa agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.

Menurutnya, bagi sesi akademik 2022/2023, seramai 21, 834 pelajar dari 388 sekolah menyertai pasukan Kadet JPJ dan daripada jumlah itu, 930 orang adalah pelajar dari sembilan sekolah di Melaka. –BERNAMA

Loading...
Terkini