comscore
Tumpuan :
Nasional

24 jam kembara belantara demi pendidikan anak murid orang asli

GUA MUSANG: Masalah jalan perhubungan rosak di kawasan pedalaman Orang Asli pada musim tengkujuh bukan perkara baharu di Gua Musang, Kelantan.

Malah, ia adalah situasi perit yang terpaksa diharungi warga pendidik guru yang menabur bakti di kawasan pedalaman apabila tiba musim hujan.

Namun berbeza di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, apabila sekumpulan guru terpaksa menempuh perjalanan 24 jam dengan menaiki motorsikal ke Pos Gob, untuk menghantar modul dan alatan belajar untuk murid mereka.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Zamri Mat Ail berkata, seramai 33 murid SK Kuala Betis, yang tinggal di kawasan pos pedalaman, Pos Gob, tidak dapat hadir ke sekolah sejak dua bulan lalu ekoran jalan perhubungan mereka rosak teruk.

Katanya, menerusi Program Kembara Belantara ini, ia adalah usaha pihak sekolah bagi memastikan proses pembelajaran murid-murid dapat diteruskan biarpun tidak dapat hadir ke sekolah.

“Sejak dua bulan lalu, murid-murid dari pos pedalaman ini tidak dapat hadir ke sekolah. Ia adalah kerana jalan perhubungan yang tidak dapat digunakan oleh pacuan empat roda.

“Jarak antara sekolah ke pos pedalaman ini adalah lebih 80 kilometer. Jadi, setelah berbincang dengan pihak pengurusan sekolah, kita mengambil inisiatif untuk menziarahi serta menghantar modul serta alatan belajar.

“Kami mengambil masa 24 jam untuk sampai ke pos tersebut kerana laluan agak teruk dan ada di antara kenderaan yang rosak kerana selut dan lumpur tebal,” katanya.

Selain guru, program yang disertai 37 peserta itu turut melibatkan komuniti Kampung Kuala Betis.

Loading...
Terkini