comscore
Tumpuan :
Nasional

25 restoran di Melaka bakal tawar Menu Rahmah

Norena (kiri) menunjukkan Menu Rahmah di sebuah restoran asam pedas di sini

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Sebanyak 25 restoran dan kedai makan di Melaka bakal menyediakan Menu Rahmah berharga RM5 kepada rakyat sebagai menyahut saranan kerajaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk menarik lebih ramai lagi peniaga menyertai inisiatif tersebut.

“Setakat ini 25 pengusaha kedai makanan dan restoran telah bersetuju dan kita menjangkakan akan lebih ramai lagi yang dapat menawarkan Menu Rahmah ini di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat pemantauan di sebuah restoran asam pedas di sini, hari ini.

Menurut Norena, KPDN negeri akan mengadakan pertemuan dengan persatuan peniaga Muslim dan tomyam di negeri ini bagi tujuan sama.

Beliau berkata, perbincangan tersebut perlu memandangkan terdapat peniaga yang masih keliru dengan inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan itu.

“Kita sedang berurusan dengan persatuan peniaga kerana ramai yang berminat tetapi keliru dengan pelaksanaannya termasuk tanggapan menu ini perlu diadakan setiap hari, sedangkan ia sebenarnya bergantung kepada kemampuan masing-masing,” jelasnya.

Tambahnya, sejak diperkenalkan kerajaan, Menu Rahmah mendapat sambutan positif daripada pemilik premis perniagaan dan orang ramai di negeri berkenaan.

Loading...
Terkini