comscore
Tumpuan :
Nasional

25 sungai dikategorikan tercemar 

Pekerja pembersihan mengutip sampah daripada log boom ketika tinjauan di Sungai Pinang, George Town di sini hari ini. – FOTO: NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 25 daripada 672 batang sungai di Malaysia dikategorikan sebagai tercemar, manakala 161 sungai disifatkan dalam keadaan sederhana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sungai tercemar itu dikesan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak membabitkan pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat.

“Antara sungai dalam kategori ini ialah Sungai Bakar Arang dan Sungai Petani di Kedah serta Sungai Jawi, Sungai Chempedak, Sungai Rambai dan Sungai Pinang di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan
Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS), hari ini.

Ujarnya, dalam memastikan langkah-langkah dan tindakan-tindakan pengurusan pelaksanaan strategi meningkatkan kualiti air sungai diambil secara bersepadu, bermesyuarat buat julung kalinya.

Selain itu, jawatankuasa itu juga akan bertindak sebagai platform perkongsian maklumat dan amalan terbaik dalam meningkatkan kualiti air.

“Kita nak melihat bagaimana sungai-sungai ini dapat diuruskan lebih baik lagi secara keseluruhan rantaian sungai itu.

“Mesyuarat hari ini juga dimaklumkan mengenai Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) membangunkan Sistem Pintar Kecerdasan Buatan Bagi Penarafan dan Pengkelasan Kedudukan Sungai di Malaysia (AIE3S).

“Sistem ini boleh digunakan di lembangan sungai oleh semua pihak berkepentingan dalam pemantauan meningkatkan kualiti air sungai,” katanya.

Ujarnya, mesyuarat JKKAS turut memutuskan supaya satu bengkel akan dianjurkan melibatkan semua pihak berkepentingan di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta NGO berkaitan, untuk memperincikan tindakan bersepadu, pemantauan, penguatkuasaan dan pencegahan pencemaran dalam usaha meningkatkan kualiti air sungai.

‘Hari ini juga kita setuju untuk tubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri, strukturnya kita serahkan kepada kerajaan negeri sama ada dipengerusikan exco, atau setiausaha kerajaan negeri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini