comscore
Tumpuan :
Nasional

2,500 pelajar baharu terima bantuan Program Siswa Sulung 2.0

BANGI: Sebanyak 2,500 pelajar baharu bagi sesi akademik 2024/2025 dari seluruh negara terpilih menerima pembiayaan pendidikan di bawah Program Siswa Sulung 2.0.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata program berkenaan bertujuan memastikan anak-anak penerima eKasih atau miskin tegar diberikan ruang secukupnya untuk melanjutkan pelajaran.

“Kita jangkakan lebih kurang 8,000 pelajar dari tahun satu sampai tahun empat (akan menerima pembiayaan di bawah Program Siswa Sulung 2.0).

“Kita bagi bantuan biasiswa kepada mereka, mereka hanya perlu bayar (yuran) kolej kediaman sahaja, yang lain semua percuma,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Kampus MADANI ‘In Person with Doc Zam: Tips and Tricks for Freshies’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Program Siswa Sulung 2.0 adalah pengecualian yuran pengajian diberikan kepada individu pertama dalam keluarga B40 atau keluarga kurang mampu yang berjaya menjejakkan kaki mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di Universiti Awam.

Sementara itu, Zambry berkata beliau akan meneruskan program Jelajah Kampus MADANI ‘In Person with Doc Zam: Tips and Tricks for Freshies’, di beberapa universiti di seluruh negara.

“Ini (Jelajah Kampus MADANI), merupakan pendekatan kreatif yang diambil oleh naib canselor universiti di Malaysia, kerana kita ingin membuka ruang yang lebih santai, lebih informasi untuk pelajar-pelajar baharu yang masuk untuk belajar ke universiti-universiti awam.

“Meskipun kita mempunyai sesi suai kenal bagi pelajar baharu, perlu ada pendekatan yang lebih santai supaya mereka dapat berinteraksi. Bukan hanya dalam kalangan mereka tetapi juga dengan pihak universiti, serta pentadbiran dan yang paling mustahak ialah mereka dapat berinteraksi dengan saya selaku Menteri Pendidikan Tinggi,” katanya.

Pada program terbabit Zambry menyampaikan amanat dan berkongsi pengalamannya sebagai anak nelayan yang berjaya di menara gading, bersama lebih 5,000 mahasiswa baharu UKM.

Beliau berkata universiti adalah medan untuk mahasiswa mengasah bakat kepimpinan dan menonjolkan kualiti diri masing-masing.

Zambry turut melancarkan aplikasi UKM Siswa yang berperanan sebagai pusat sehenti maklumat untuk mahasiswa sekali gus memudahkan segala urusan sepanjang pengajian di universiti itu antaranya paparan maklumat akademik, jadual kuliah dan peperiksaaan, kewangan serta maklumat bantuan kebajikan.

UKM adalah universiti pertama mengintegrasikan keseluruhan sistem berkaitan mahasiswa dalam satu aplikasi.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini