Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Kira-kira 2,500 peserta memeriahkan program “Keretapi Sarong Johor” yang membabitkan rakyat pelbagai bangsa sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Program anjuran Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menyaksikan peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk pancaragam dan kompang .
Semua peserta berarak sepanjang sejauh dua kililometer yang bermula dibatu tanda 0 KM Johor Bahru, melalui Legaran Sungai Segget dan berakhir di PERSADA Johor.
Menurut Ketua Eksekutif, IRDA Datuk Dr.Badrul Hisham Kassim, program Keretapi Sarong Johor menjadi platform untuk memperkenalkan kepelbagaian kebudayaan tempatan dikalangan rakyat Malaysia.
“Ianya satu acara yang menambah kemeriahan dan keceriaan di pusat bandar Johor Bahru dan seterusnya menjadi satu peluang kepada usahawan tempatan, terutamanya golongan belia, menawarkan produk dan mengembangkan jenama perniagaan mereka.”
“Ia selaras dengan program Kesenian, Warisan dan Budaya di pusat bandaraya Johor Bahru iaitu ‘Downtown JB Grant Programme’ melalui peruntukan Tabung Projek Sosial Iskandar Malaysia.
Program ini menyokong inisiatif berasaskan komuniti dan membina komuniti yang kukuh dalam menyumbang kepada pengaktifan teras warisan di pusat bandar Johor Bahru.” katanya dalam satu kenyataan.
Perarakan berakhir di PERSADA dengan menampilkan aktiviti persembahan kebudayaan seperti gendang Cina, tarian Ronggeng, tarian India, tarian Orang Seletar, tarian Zapin, Silat Tari, tarian Borneo, dikir barat, ghazal dan gamelan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.