comscore
Tumpuan :
Nasional

26 warga asing dicekup di Pulau Perhentian

PUTRAJAYA: 26 warga asing daripada ditahan dalam satu operasi Khas di sekitar Pulau Perhentian, Terengganu pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan operasi bermula pada jam 5 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Imigresen Terengganu serta dibantu oleh Jabatan Perikanan Terengganu.

Katanya operasi itu diadakan berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

Tambahnya kesemua yang ditahan dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja di kawasan pulau itu sejak awal tahun ini.

“Pasukan operasi menghadapi kesukaran disebabkan lokasi di persisiran pantai dan permukaan yang berbukit-bukau kerana terdapat cubaan warga asing melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan operasi namun dengan kecekapan anggota berjaya dipatahkan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mereka yang ditahan 13 lelaki warga Bangladesh,enam lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga Nepal, tiga wanita wargaThailand dan seorang wanita warga Indonesia.

Kesemua warga asing yang ditahan berusia di antara 22 hingga 50 tahun.

Ruslin berkata, semakan awal mendapati tiga lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Pakistan dan tiga wanita warga Thailand memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah laku.

Manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Katanya, kebanyakan warga asing yang ditahan menjalankan aktiviti perniagaan di mana warga Bangladesh menawarkan perkhidmatan ‘water taxi’ dan warga Thailand menawarkan perkhidmatan ‘spa’.

“Bagi warga Nepal pula mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bekerja di resort peranginan dipercayai telah menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja selama 9 bulan,” katanya.

Ruslin menambah, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Ajil kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 59/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan- peraturan Imigresen 1963.

Katanya dua lelaki warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen Terengganu bagi membantu siasatan.

Selain itu jelasnya Jabatan Imigresen Terengganu akan mengesan majikan yang menggajikan atau menggunakan pekerja warga asing tanpa dokumen atau pas yang sah.

“Imigresen akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini