comscore
Tumpuan :
Nasional

278 mangsa kekal berada di enam PPS di tiga negeri setakat pagi ini

KUALA LUMPUR : Jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terjejas banjir kekal 278 orang, setakat jam 6 pagi tadi.

Ia membabitkan Sabah, Pahang serta Johor.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), daripada jumlah itu, 99 mangsa daripada 42 keluarga masih berlindung di dua PPS di Daerah Beluran, Sabah.

Sementara di Pahang seramai 101 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Rompin,  manakala di Johor, seramai 78 mangsa daripada 20 keluarga berada di tiga PPS iaitu di Segamat (63 orang) dan Batu Pahat (15 orang).

Sementara itu, status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa lokaliti sungai di Johor, Perlis, Selangor dan Terengganu berada pada paras bahaya pagi ini.

Sungai yang terlibat di Johor adalah Sungai Muar di Segamat dan Sungai Johor di Kota Tinggi serta Sungai Arau (Perlis), Sungai Langat di Kuala Langat dan Sungai Klang (Selangor) serra Sungai Terengganu di Kuala Terengganu (Terengganu).

Selain itu, terdapat 17 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu, Jalan Sungai Tiang di Baling, Kedah dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.

Loading...
Terkini