comscore
Tumpuan :
Nasional

28 IPT Sertai Pertandingan Debat Alam Sekitar

PUTRAJAYA: Pertandingan debat alam sekitar antara institusi pendidikan tinggi (IPT) 2022 akan bermula 20 Ogos ini dengan 28 IPT telah mengesahkan penyertaan melibatkan IPT awam dan swasta, institut pendidikan guru (IPG) dan politeknik dari seluruh negara.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata pertandingan itu merupakan satu pendekatan yang dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memberi kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar kepada golongan muda terutamanya golongan mahasiswa dan mahasiswi. 

“Ia juga menyediakan platform untuk mereka berkongsi dan menyuarakan buah fikiran berkenaan isu-isu kritikal alam sekitar ke arah mencapai matlamat dalam pembangunan modal insan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peringkat awal pertandingan akan dilaksanakan secara dalam talian manakala peringkat suku akhir, separuh akhir dan pertandingan akhir pada 27 Ogos 2022 akan dilaksanakan secara fizikal di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selaku tuan rumah pertandingan tahun ini.

Bertema “Krisis bumi: perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, pencemaran dan buangan”, pertandingan debat itu dianjurkan JAS dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) serta disokong Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Yayasan Sabah selaku rakan strategik. – BERNAMA

Loading...
Terkini