comscore
Tumpuan :
Nasional

3 anggota Balai Polis Ulu Tiram terima surat penghargaan

FOTO: PDRM

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis yang terbabit dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada bulan lalu menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Koperal Mohd Hasif Roslan, Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh dan Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa menerima surat penghargaan serta plak dalam pertemuan khas di Pejabat Ketua Polis Negara, hari ini.

Tan Sri Razarudin berkata, ia bagi menghargai keberanian ketiga-tiga anggota itu apabila sanggup bergadai nyawa demi menjaga keselamatan awam.

“Sifat berani mereka wajar dicontohi warga pasukan yang lain dalam menjalankan tugas hakiki sebagai pegawai dan anggota polis di lapangan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis ringkas itu turut dihadiri Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dan Ketua Polis Balai Ulu Tiram, Inspektor Mohd Hisyam Ezahar.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, dua anggota polis iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said masing-masing berusia 22 tahun terkorban akibat ditembak serta ditetak dalam serangan dilakukan seorang individu bertopeng.

Suspek lelaki berusia 21 tahun turut maut dalam serangan berkenaan.

Tujuh individu termasuk lima sekeluarga suspek ditahan untuk siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini