comscore
Tumpuan :
Nasional

3 anjing gigit wanita, dikuarantin di JPV 14 hari

 

FOTO: Ihsan Cheah Hean Hoon

GEORGE TOWN: Tiga anjing yang menyerang dan menggigit seorang wanita dalam kejadian di Medan Terengganu, di sini, baru-baru ini telah ditangkap, Khamis lalu.

Tindakan itu dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu operasi.

Pengarah JPV negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, anjing yang ditangkap itu kini dikuarantin dan dipantau dalam tempoh 14 hari.

Katanya, jika anjing terbabit menunjukkan tanda penyakit rabies atau mati, sampel otak akan diambil bagi ujian penentuan penyakit (rabies) dan jika sebaliknya, ia akan dikembali kepada pemiliknya.

“Bagaimanapun, dalam kes ini haiwan itu diserah oleh pemilik dan akan dikembali kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selepas tamat tempoh kuarantin bagi tindakan lanjut kerana anjing berkenaan didapati tidak berlesen.

“Ia bermakna anjing terbabit akan diserah kepada PBT tetapi jika mangsa sudah membuat laporan polis, ia akan terus ditahan di JPV sehingga kes selesai.

“JPV sebelum ini juga tidak menerima aduan berkaitan serangan atau individu digigit anjing di kawasan berkenaan,​” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.

Pada 9 Februari lalu, media melaporkan seorang wanita cedera di tangan kanan, selain paha kiri dan kanan juga terkoyak sehingga terpaksa menjalani pembedahan di hospital swasta selepas diserang anjing peliharaan jiran.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Cheah Hean Hoon, 49, diserang tiga anjing yang tidak dirantai ketika berjalan melintasi rumah jirannya.

Mangsa mendakwa, ia adalah kejadian berulang yang mana kakak ipar serta beberapa jiran yang lain pernah digigit anjing berkenaan dan mereka sudah melaporkan kepada PBT.

Kakak ipar mangsa, Patricia Cheah, 52, ketika dihubungi berkata, ia menjadi kejadian ngeri kepada adiknya yang pulang dari Singapura bagi menyambut Tahun Baharu Cina di kampung.

Katanya, sehingga hari ini, adiknya yang bekerja sebagai akauntan tidak dapat berdiri atau duduk bagi tempoh lama kerana kakinya akan membengkak.

“Kami terpaksa membayar kira-kira RM15,000 bagi kos rawatan termasuk pembedahan yang perlu dijalankan segera selepas kejadian.

“Pemilik anjing tidak pernah datang bertanya membayar khabar apatah lagi bagi menjelaskan kos rawatan,” katanya.

Sementara itu, rumah perlindungan haiwan SPCA Pulau Pinang menerusi Pentadbirnya, Lily Leng berkata, mangsa boleh membawa kes itu ke mahkamah supaya pemilik menjelaskan kos rawatan.

“Orang ramai atau kejiranan boleh melaporkan masalah seumpamanya kepada PBT bagi tindakan segera dan jika didapati anjing berkenaan tidak mempunyai lesen, mereka boleh dikenakan denda,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini