Tumpuan :
Nasional

3 beranak terperangkap selamat ke pangkuan keluarga

Rizal Asmawi, 42, serta anaknya Muhammad Faiz Fitri, 12, dan Muhammad Faiz Idlan, 15, selamat sampai ke PPS SK Bayu Lalang selepas terperangkap di bumbung rumah sejak petang semalam.

PASIR MAS: “Alhamdulillah suami dan anak-anak saya sudah diselamatkan penduduk kampung,” kata Fazlinda Mohd Salleh.

Fazlinda, 39, adalah isteri kepada Rizal Asmawi, 42, serta ibu kepada Muhammad Faiz Fitri, 12, dan Muhammad Faiz Idlan, 15, yang terperangkap di bumbung rumahnya di Kampung Meranti, sejak petang semalam.

Katanya, dia berasa lega apabila ketiga-tiga mereka selamat sampai ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bayu Lalang, di sini, sekitar jam 3.50 petang tadi.

“Saya hanya mampu mengalirkan air mata tanda bersyukur kerana mereka selamat sampai ke pangkuan saya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bertanya khabar dan mendoakan keselamatan suami serta anak-anak. Insya-Allah, apa yang berlaku akan dijadikan sebagai pengajaran kelak.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya sepanjang menunggu mereka diselamatkan, saya tiada selera makan selain hanya mampu menangis meningatkan nasib mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, tiga beranak itu terperangkap di bumbung rumah selepas kediaman mereka dinaiki air secara mendadak.

Fazlinda meminta bantuan agensi keselamatan serta memohon doa orang ramai kerana bimbang akan keadaan mereka yang sudah terperangkap sejak petang semalam.

Mereka pada awalnya sudah keluar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayu Lalang, di sini, namun kembali semula ke rumah petang semalam untuk mengangkat barangan ke tempat selamat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini