comscore
Tumpuan :
Nasional

3 ‘black spot’, 8 ‘hot spot’ kemalangan di Kota Setar dikenal pasti

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir (tengah) menyampaikan kit sumbangan kepada pengguna jalan raya sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Alor Setar Utara.

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar akan menumpukan pemantauan keselamatan di tiga lokasi titik hitam, atau “Black Spot” sepanjang Op Selamat 21/2024 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata tiga lokasi itu adalah di KM8 Jalan Alor Setar-Kangar, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Alor Setar-Kuala Kedah.

“Lebih 100,000 kenderaan dijangka memasuki daerah Kota Setar menjelang sambutan Tahun Baharu Cina ini. Tumpuan ini adalah bagi kita bersiap siaga dalam memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya selain mengurangkan kadar kemalangan dan kematian.

“Dalam Op Selamat 17/2022, jumlah kemalangan adalah sebanyak 82 kes, kematian dua kes dan saman yang dikeluarkan sebanyak 3,667 manakala dalam Op Selamat 19/2023, jumlah kemalangan adalah sebanyak 114, kematian dua kes dan saman sebanyak 3,555,” katanya.

Beliau menambah, sebanyak lapan ‘hotspot’ juga telah dikenali pasti di daerah Kota Setar iaitu lampu isyarat Jalan Simpang Kuala; lampu isyarat Jalan Tanjung Bendahara; lampu isyarat Jalan Datuk Kumbar; lampu isyarat Derga; lampu isyarat Taman Pandan; lampu isyarat Kota Sarang Semut; lampu isyarat Kuala Sungai dan lampu isyarat Plaza Tol Alor Setar Utara.

Terdapat enam kesalahan utama yang akan diambil tindakan iaitu memotong barisan, pandu laju, melanggar lampu isyarat, menggunakan lorong kecemasan, memotong garisan berkembar dan menggunakan alat telekomunikasi.

Seramai tiga pegawai dan 20 anggota akan ditugaskan sepanjang operasi berkenaan dan pihaknya juga akan mengadakan rondaan di pusat-pusat membeli belah dan tempat-tempat pelancongan di daerah itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemantauan OP Selamat di Plaza Tol Alor Setar Utara di sini, hari ini.

Loading...
Terkini