comscore
Tumpuan :
Nasional

3 bot nelayan guna kru warga asing ditahan

Enam nelayan warga Myanmar bersama-sama tiga bot nelayan tempatan kelas B ditahan di kedudukan 10.15 hingga 10.63 batu nautika barat Kuala Sepetang, petang kelmarin. – Foto Maritim Malaysia

PARIT BUNTAR: Tiga bot nelayan tempatan, bersama enam kru warga Myanmar ditahan di kedudukan 10.15 hingga 10.63 batu nautika barat Kuala Sepetang, petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semua mereka ditahan kerana melanggar syarat sah lesen.

Katanya, bot kelas B terbabit dikesan melakukan aktiviti penangkapan ikan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.

“Hasil pemeriksaan terhadap ketiga-tiga bot menemui enam nelayan warga Myanmar dan setiap bot mempunyai dua kru termasuk tekong.

“Semua mereka berumur antara 24 hingga 35 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati kesemua bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemilik dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Najhan berkata, semua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing yang sah.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919atau MERS 999 untuk tindakan segera.

Loading...
Terkini