comscore
Tumpuan :
Nasional

3 daerah di Kedah catat jangkitan COVID-19 membimbangkan

Foto Hiasan

ALOR SETAR: Berikutan peningkatan penularan kes COVID-19 di negeri ini, jemaah yang melaksanakan aktiviti keagamaan di masjid dan surau digalakkan memakai pelitup muka.

Justeru, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Abd Ghani@Zulkifli Zainudin berkata, arahan itu dikeluarkan selaras saranan Kementerian Kesihatan (KKM) agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga.

Tiga daerah di Kedah iaitu Kulim, Kuala Muda dan Alor Setar mencatatkan jangkitan Covid-19 yang membimbangkan.

Abd Ghani berkata, pemakaian pelitup muka di kawasan masjid bertujuan memastikan penularan virus Covid-19 terutama dalam kalangan penduduk dapat dikawal dan dicegah.

“Adalah digalakkan memakai pelitup muka ketika melaksanakan aktiviti solat berjemaah, menghadiri kuliah dan sebagainya.

“Jemaah yang berisiko terhadap jangkitan Covid-19 dan individu yang mempunyai simptom demam, selesema dan batuk dinasihatkan agar tidak menghadiri sebarang aktiviti keagamaan di masjid dan surau,” katanya.

Katanya, pihaknya menasihatkan setiap jemaah mengambil langkah pencegahan seperti yang disarankan KKM.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Norizan Ismail berkata, setakat 23 Disember lalu, lebih 9,000 kes Covid-19 direkodkan dengan 40 kematian.

Menurutnya, laporan kes paling tinggi adalah di Kulim, Kuala Muda dan Alor Setar.

Perkara itu disebabkan peningkatan kemasukan pengunjung berikutan musim cuti persekolahan selain negeri ini menjadi laluan untuk memasuki Thailand.

Loading...
Terkini