comscore
Tumpuan :
Nasional

3 inisiatif MITRA bantu komuniti India B40 


Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memperuntukkan RM20 juta bagi Program Subsidi Bantuan Pengajian Ijazah Sarjana Muda bagi pelajar India kategori B40 di universiti awam.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA, Datuk R. Ramanan berkata, program itu dikhaskan untuk mahasiswa tahun kedua pengajian hingga tahun akhir pengajian yang akan menerima bantuan subsidi   ‘one-off’ RM2,000.

“Untuk tahun pertama pengajian, pelajar ini sudah menerima banyak bantuan. Seramai 10,000 pelajar India B40 di universiti awam akan menerima manfaat (subsidi) ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MITRA hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan secara kolaboratif bersama pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) dan bantuan kewangan itu akan dimasukkan ke dalam akaun penerima yang layak sebelum semester pengajian bermula September atau Oktober depan.

Menurutnya, permohonan boleh dibuat di laman sesawang rasmi MITRA di www.mitra.gov.my mulai Isnin (8 Mei 2023) jam 2 petang sehingga 15 September 2023  jam 5 petang.

Ramanan berkata, inisiatif lain adalah Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM), bakal memanfaatkan 4,500 kanak-kanak masyarakat India B40 melibatkan perbelanjaan RM10.8 juta.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, pemberian bantuan subsidi terbabit bagi mengurangkan isu keciciran dalam pendidikan awal dan masalah literasi serta numerasi kanak-kanak komuniti berkenaan.

“MITRA akan beri subsidi bernilai RM200 sebulan meliputi RM150 yuran dan RM50 sarapan pagi untuk 12 bulan. Subsidi ini akan dibayar terus kepada pengusaha tadika”, katanya.

Permohonan untuk program itu dibuka sejak 17 April 2023 akan dilanjutkan sehingga 28 Mei ini .

Bagi Program Subsidi Bantuan Dialisis, Ramanan berkata, ia disasarkan kepada 900 pesakit kronik buah pinggang membabitkan masyarakat India kategori B40 dengan peruntukan  RM8.64 juta.

Pesakit akan menerima bayaran subsidi  RM200 untuk satu sesi dialisis  membabitkan bayaran empat kali sebulan atau seminggu sekali, selama setahun.

“Permohonan akan dibuka mulai 8 Mei jam 2 petang sehingga 30 Ogos jam 5 petang. Permohonan boleh dibuat di laman sesawang rasmi MITRA dan diproses berdasarkan ‘first come, first serve’,” katanya.

Loading...
Terkini