comscore
Tumpuan :
Nasional

 [VIDEO] 3 jambatan runtuh akibat banjir, 100 keluarga dipindahkan di Baling 

 

BALING: Sebanyak 100 keluarga terpaksa dipindahkan selepas tiga jambatan yang menghubungkan penduduk di Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang di jajaran Sungai Kupang, runtuh akibat banjir malam tadi.

Jambatan Bailey di Lata Chelak, Kampung Iboi juga terpaksa ditutup sejak 11 jam malam akibat hakisan teruk.

Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain memberitahu hujan lebat sejak jam 4 petang semalam menyebabkan air sungai melimpah.

“Saya mula terima panggilan daripada penduduk selepas solat maghrib mengatakan rumah mereka sudah dinaiki air. Ketika itu juga bekalan elektrik terputus.

Foto: NSTP

“Saya dengan segera menghubungi pegawai, daerah, polis, bomba dan JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) untuk meminta bantuan.

“Kira-kira 100 keluarga kemudiannya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Iboi malam tadi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nor Mohamad berkata jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan polis mengambil keputusan menutup jambatan Bailey untuk keselamatan penduduk.

“Saya harap penduduk dapat mengikut arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Kita bimbang kejadian ini akan berulang dan menyebabkan penduduk kampung akan lebih trauma selepas banjir puing 4 Julai tahun lalu.

“Kita harap kerajaan segera membina semula jambatan yang rosak selain mempercepatkan pembinaan empangan sabo dan projek tebatan banjir di sini bagi mengelak penduduk terus menanggung kerugian,” katanya.

Foto: NSTP

Sementara itu, kejadian banjir kali ini turut menyebabkan bekalan air  di kampung berkenaan terputus dan memerlukan bantuan segera untuk baik pulih .

Keadaan itu menjejaskan kira-kira 500 rumah di tiga kampung  termasuk Kampung Bukit Iboi.

Nor Mohamad berkata banyak paip utama air penduduk di kompatmen lapan Gunung Inas rosak yang dijangka memerlukan kos lebih RM500,000.

“Sebelum ini kita sudah baiki paip di kawasan gunung itu dengan peruntukan daripada bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim kira-kira RM50,000.

“Namun, hanya sebahagian paip yang dibaik pulih. Tapi kali ini lebih banyak paip yang rosak kerana dihanyutkan air dari gunung selain tersumbat kerana dimasuki pasir dan tanah,” katanya.

Banjir puing pada 4 Julai tahun lalu menyebabkan 41 kawasan di Baling terjejas teruk manakala 17 musnah selain turut mengorbankan tiga nyawa, termasuk wanita hamil.

Jumlah kerugian akibat bencana itu mencecah RM28 juta.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini