comscore
Tumpuan :
Nasional

3 Jun diwarta Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Sultan Ibrahim

Tarikh 3 Jun telah diwartakan sebagai cuti umum sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tarikh 3 Jun telah diwartakan sebagai cuti umum sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, Seri Paduka telah memperkenan acara-acara sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda pada tahun ini ditangguhkan dari Jun ke September.

“(Penangguhan ini) bagi memberi keutamaan kepada istiadat pertabalan dan acara-acara lain sempena istiadat pertabalan yang akan berlangsung pada Julai nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, di sini hari ini.

Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkata, Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bakal berlangsung pada 20 Julai ini.

Jelasnya, istiadat pertabalan itu akan diadakan pada jam 10 pagi dengan penuh simbolik dan adat istiadat Raja-raja Melayu di Istana Negara.

Sultan Ibrahim, 66, telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini