BAGAN SERAI: Tiga kenderaan ditemui musnah terbakar dipercayai kerana perbuatan khianat dengan api di Ladang Gula, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff, berkata seorang lelaki berusia 36 tahun telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 6.12 pagi.
Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati terdapat unsur khianat dilakukan.
“Sebuah lori, kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta milik pengadu yang diparkir berhampiran rumah di ladang berkenaan telah terbakar dipercayai perbuatan khianat.
“Kebakaran itu berjaya dipadam pihak sukarelawan bomba dan usaha mengesan suspek kini giat dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan siasatan diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Kerian ditalian 05-7212222.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.