comscore
Tumpuan :
Nasional

3 laluan di Kota Tinggi ditutup kerana banjir

Keadaan banjir akibat hujan sejak semalam di Bandar Penawar dan Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, Johor. – FOTO: NSTP

KOTA TINGGI: Tiga jalan di Kota Tinggi ditutup kepada kenderaan ringan akibat banjir yang melanda daerah itu, hari ini.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata, tiga jalan berkenaan adalah Jalan Ladang Siang, Jalan Lok Heng – Sungai Mas dan Jalan Perani,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Desaru Utama di sini, hari ini.

Hazlina berkata, terdapat lima PPS dibuka di daerah itu yang mana tiga daripadanya masih melalui proses pendaftaran.

Katanya, banjir kali ini berpunca daripada pertembungan hujan yang berterusan dari tengah malam kelmarin dengan air pasang sekali gus menjadikannya lebih besar berbanding banjir pada bulan lalu.

“Jika Disember lalu, hanya dua PPS dibuka, tetapi kali ini lima buah PPS akan dibuka. Dua PPS sudah selesai proses pendaftaran iaitu di Dewan Kampung Baru Sungai Mas yang menempatkan enam keluarga dan 43 orang mangsa.

“Sebuah lagi di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama yang mana terdapat 40 keluarga di sini, manakala tiga lagi PPS masih dalam proses pendaftaran,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga sudah mula menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang terjejas di PPS dan agensi seperti polis dan bomba sudah bersiap sedia di lokasi-lokasi panas yang berkemungkinan banjir.

“Kita sebenarnya ada 65 ‘hotspot’ banjir dan semua agensi seperti polis dan bomba sudah bersiap sedia dan kira-kira 500 kekuatan bersedia jika kemungkinan banjir berlaku,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar @ Jaafar berkata, Southern Volunteer (SV) menghulurkan bantuan dalam dua bentuk iaitu tenaga kerja dan bakul makanan di seluruh negeri.

“Dari segi sukarelawan SV, kita bersedia di setiap daerah untuk membantu mengujut permintaan agensi berkaitan sebagai contoh tenaga kerja yang akan menjaga kebersihan serta mengagih makanan.

“Selain itu, kita mengedarkan juga bakul-bakul makanan kepada keluarga yang terjejas,” katanya.

Loading...
Terkini