Tumpuan :
Nasional

3 lelaki termasuk warga asing ditahan bersama dadah RM1.06 juta

SHAH ALAM: Tiga lelaki termasuk seorang warga asing dipercayai keldai dadah ditahan bersama 61.3 kilogram disyaki syabu serta ganja dianggarkan bernilai RM1.06 juta dalam dua tangkapan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 pada 22 serta 24 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata kes pertama membabitkan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 18 tahun yang berasal dari Sarawak.

Katanya, pada 22 Januari lalu sekitar jam 5.30 petang, polis menahan dua lelaki berkenaan yang sedang menarik bagasi di KLIA Terminal 2 yang mana pemeriksaan menemui 30 bungkusan plastik berisi syabu seberat 30.3 kilogram dan dianggarkan berjumlah RM967, 000.

“Kedua-dua suspek kali pertama datang ke Semenanjung dan dibawa menginap di sebuah pangsapuri di Kota Warisan, Sepang oleh sindiket pengedaran.

“Mereka dipercayai berhubung dengan sindiket menerusi media sosial dan membawa bekalan dadah bagi pasaran Sarawak terutamanya Miri.

“Difahamkan, mereka diberikan upah sebanyak RM600 bagi setiap kilogram dadah yang dibawa,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata seorang daripada suspek sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak dan bekerja sebagai pemandu lori sebuah syarikat perabot. Manakala, seorang lagi adalah penganggur.

Katanya, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai empat dan satu rekod lampau namun negatif dadah.

“Kes kedua membabitkan tangkapan seorang lelaki warga Britain berusia 36 tahun yang ditahan bersama 31 (31 kilogram) ketulan mampat berisi ganja bernilai RM96,000 pada jam 10.30 malam, 24 Januari lalu di sekitar KLIA Terminal 1.

“Suspek adalah seorang pengawal keselamatan di luar negara dan memasuki negara ini pada 16 Januari dari London dan ingin kembali bandar terbabit bersama dadah itu,” katanya.

Beliau berkata, suspek warga asing itu tidak sebarang mempunyai rekod kesalahan di Malaysia dan saringan awal air kencing didapati positif delta-9 tetrahydrocannabinol (THC).

Jelasnya, polis turut merampas dua jam tangan masing-masing jenama Lee Cooper dan Apple Watch bernilai keseluruhan RM2,000 selain wang tunai 50 British Pound,” katanya.

“Semua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini